Saturday, May 12, 2012

DIDIKAN secara JUJUR dan LEMAH LEMBUT terhadap anak-anak

Seringkali, orang tua merasa bahawa sikap jujur hanyalah kewajiban anak. Ketika anak menumpahkan susu atau coklat di permaidani, kerana takut, mereka mungkin akan berkata, “Bukan saya, ibu!” Lalu, ibu bapa akan marah dan membentak, “Jangan bohong!” Namun, tanpa sedar, ibu bapa pun sering membohongi anak.

Apabila kita letih atau penat ketika si anak kecil mengajak bermain di taman, ibu bapa dengan mudah berkata, “Esok, ya sayang!” Bagaimanapun, esok, apa yang terjadi? Seringkali ibu bapa melupakan janji itu begitu saja.
Bohong adalah salah satu akibat daripada sikap pemarah orang tua. Namun, boleh jadi pula, anak suka berbohong kerana meniru ibu bapanya yang juga sering tidak jujur terhadapnya. Kerana itu, dalam artikel ini penulis akan membahas mengenai dua sifat yang harus dipegang teguh oleh ibu bapa, iaitu jujur dan lembut.

SIKAP JUJUR
Abdul Hamid Jasim Al-Bilali dalam bukunya yang berjudul Seni Mendidik Anak menyebutkan, “Penyebab kenakalan anak (termasuk di antaranya berbohong) adalah kerana contoh yang buruk.” Menurut Al-Bilali, “Seseorang anak tentu tidak mudah menerima anjuran kebaikan daripada ibu bapanya jika ternyata perbuatan orang tua mereka sendiri tidak seiring daripada apa yang diperintahkan. Anak disuruh berkata-kata secara jujur, tetapi mereka sendiri sering berdusta dan jika berjanji tidak ditepati.”

Allah s.w.t berfirman dalam surah As-Saf, “Sungguh besar dosanya di sisi Allah jika kamu berbicara apa yang tidak kamu lakukan.” Ada kalanya, orang tua memang tidak marah menghadapi ´kenakalan´ anaknya, tetapi menggunakan cara berbohong. Hal ini sama-sama berkesan buruk. Sering kita dengar ibu bapa melarang anaknya dengan berbohong, “Hei, jangan bising, nanti hantu datang, baru tahu!” Hal ini akan membuatkan anak menjadi penakut dan sekali gus mengajarnya berbohong. Apabila anak bising, sebaik-baiknya kita mengalihkan perhatiannya dengan mengajak bermain atau membacakannya cerita-cerita yang bermanfaat.

SIKAP LEMBUT
Sikap lembut kadang-kadang amat sukar dipertahankan oleh ibu bapa. Anak-anak kecil umumnya melakukan perbuatan-perbuatan yang dalam pandangan orang dewasa adalah ´nakal.´ Namun, ada fakta penting yang harus difahami oleh orang tua, iaitu sesungguhnya, anak-anak kecil tidak pernah bermaksud untuk berbuat nakal. Dia bahkan tidak memahami konsep nakal itu sendiri. Apa pun yang dia lakukan adalah sesuai dengan kemampuan nalurinya pada ketika itu. Apabila dia menumpahkan susu di atas permaidani, itu bukanlah kesengajaan kerana ingin membuat anda sibuk mencuci permaidani, tetapi kerana keseimbangan ataukeadaan tangannya yang belum stabil.

Apabila dia merosakkan mainannya, itu lebih kepada sifat ingin tahunya. Apabila dia bermain-main dengan pasu kristal kesayangan anda dan akhirnya pecah, itu bukanlah kerana sengaja ingin membuatkan anda marah. Bagi kanak-kanak kecil, bermain adalah proses belajar. Dia akan belajar memahami bahawa barang kaca akan pecah apabila dihempas atau dibaling ke lantai.

Rasulullah s.a.w bersabda; “Kegemaran, permainan dan kelincahan gerak seorang anak pada waktu kecil, akan mempertajamkan pemikirannya ketika dewasa.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Imam Al-Ghazali menjelaskan dalam Ihya ´Ulumuddin, bahagian V, bab Mengubati Penyakit Hati, “Hendaknya anak-anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya, dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri dari keadaan sesak itu.”

Menurut Ma´ruf Zurayk, pensyarah Pendidikan dan Psikologi Universiti Darul Mukminin Damascus, menjelaskan, “Pendidikan anak yang dilakukan dengan bentuk yang keras dan kaku mengakibatkan perasaan tertekan, hancurnya keperibadian, dan tidak adanya kesempatan untuk mengungkapkan keperibadian anak. Inilah hal-hal yang menyebabkan anak menggunakan aspek kebohongan sebagai sarana, yang dengan jalan itu, dia memperoleh tempat yang dianggap baik dan dikagumi bagi kedua ibu bapanya.”

Menurut Zurayk lagi, “Kadang-kadang anak juga berbohong kerana takut hukuman yang dijatuhkan kepadanya atau hanya kerana sekadar kesenangan yang timbul dari sikap menentang terhadap kekuasaan yang keras orang tuanya.”
Matthew McKay telah menghabiskan waktu dua tahun untuk mengkaji perilaku marah orang tua dan kesannya terhadap kanak-kanak. Dia menemukan bahawa 2/3 ibu bapa (daripada 285 orang tua yang dikaji) mengungkapkan rasa marah kepada anak dengan berteriak dan membentak – sekitar lima kali seminggu. Ini bermakna, hampir setiap hari anak-anak menerima bentakan daripada ibu bapanya. Menurut McKay, “Apabila anda membentak anak hampir setiap hari, hati anak akan terluka. Apabila hanya sekali seminggu atau sekali sebulan, anak tidak akan merasakan adanya serangan psikologi terhadap dirinya.”

Daripada anda menghabiskan tenaga untuk marah dan akan meninggalkan kesan negatif pada psikologi anak, lebih baik anda melakukan perbuatan preventif, misalnya, jangan meletakkan barang mudah pecah di tempat yang terjangkau oleh anak. Atau, selagi anak masih kecil, anda tidak perlu memasang permaidani atau permadani mahal di lantai yang memerlukan tenaga tambahan untuk membersihkannya.

Sebaiknya pula, ibu bapa menghindari kata-kata yang bersifat larangan. Pertama, anak sukar menentukan alternatif atau pilihan tindakan. Misalnya, ketika ia menjerit-jerit, kita akan membentak, “Syyyy, diam, jangan menjerittttt!!!!!!”
Lantas, dia akan melakukan aktiviti lain, seperti memukul meja. Apabila kembali kita melarangnya, anak akan bingung, “Apa yang harus aku lakukan? Ini jangan, itu jangan. Yang mana yang boleh?”

Kedua, larangan (lebih-lebih lagi yang disertai bentakan dan marah) akan membuatkan anak kehilangan kreativitinya. Adalah naïf apabila orang tua melarang anak merosakkan mainannya yang hanya berharga sepuluh ringgit tetapi menebusnya dengan kematian kreativiti yang merupakan bekalan utama anak untuk kehidupan pada masa hadapan.

Tulisan ini akan penulis akhiri dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Setiap di antara kamu adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawapan atas apa yang dipimpin.” Ayah dan ibu adalah pemimpin anak-anak dan kemudian hari Allah s.w.t akan meminta pertanggungjawapan atas apa yang telah mereka lakukan terhadap anak-anak mereka. Lantaran itu, bersikaplah secara jujur dan lembut terhadap anak-anak anda. Wallahua´lam.

sumber :penasufi

No comments:

Post a Comment