Seringkali, orang tua merasa bahawa sikap jujur hanyalah kewajiban
anak. Ketika anak menumpahkan susu atau coklat di permaidani, kerana
takut, mereka mungkin akan berkata, “Bukan saya, ibu!” Lalu, ibu bapa
akan marah dan membentak, “
Jangan bohong!” Namun, tanpa sedar, ibu bapa pun sering
membohongi anak.
Apabila
kita letih atau penat ketika si anak kecil mengajak bermain di taman,
ibu bapa dengan mudah berkata, “Esok, ya sayang!” Bagaimanapun, esok,
apa yang terjadi? Seringkali ibu bapa melupakan janji itu begitu saja.
Bohong
adalah salah satu akibat daripada sikap pemarah orang tua. Namun,
boleh jadi pula, anak suka berbohong kerana meniru ibu bapanya yang
juga sering tidak jujur terhadapnya. Kerana itu, dalam artikel ini
penulis akan membahas mengenai dua sifat yang harus dipegang teguh oleh
ibu bapa, iaitu
jujur dan
lembut.
SIKAP JUJUR
Abdul
Hamid Jasim Al-Bilali dalam bukunya yang berjudul Seni Mendidik Anak
menyebutkan, “Penyebab kenakalan anak (termasuk di antaranya berbohong)
adalah kerana contoh yang buruk.” Menurut Al-Bilali, “Seseorang anak
tentu tidak mudah menerima anjuran kebaikan daripada ibu bapanya jika
ternyata perbuatan orang tua mereka sendiri tidak seiring daripada apa
yang diperintahkan. Anak disuruh berkata-kata secara jujur, tetapi
mereka sendiri sering berdusta dan jika berjanji tidak ditepati.”
Allah
s.w.t berfirman dalam surah As-Saf, “Sungguh besar dosanya di sisi
Allah jika kamu berbicara apa yang tidak kamu lakukan.” Ada kalanya,
orang tua memang tidak marah menghadapi ´kenakalan´ anaknya, tetapi
menggunakan cara berbohong. Hal ini sama-sama berkesan buruk. Sering
kita dengar ibu bapa melarang anaknya dengan berbohong, “Hei, jangan
bising, nanti hantu datang, baru tahu!” Hal ini akan membuatkan anak
menjadi penakut dan sekali gus mengajarnya berbohong. Apabila anak
bising, sebaik-baiknya kita mengalihkan perhatiannya dengan mengajak
bermain atau membacakannya cerita-cerita yang bermanfaat.
SIKAP LEMBUT
Sikap
lembut kadang-kadang amat sukar dipertahankan oleh ibu bapa. Anak-anak
kecil umumnya melakukan perbuatan-perbuatan yang dalam pandangan orang
dewasa adalah ´
nakal.´ Namun, ada fakta penting yang
harus difahami oleh orang tua, iaitu sesungguhnya, anak-anak kecil tidak
pernah bermaksud untuk berbuat nakal. Dia bahkan tidak memahami konsep
nakal itu sendiri. Apa pun yang dia lakukan adalah sesuai dengan
kemampuan nalurinya pada ketika itu. Apabila dia menumpahkan susu di
atas permaidani, itu bukanlah kesengajaan kerana ingin membuat anda
sibuk mencuci permaidani, tetapi kerana keseimbangan ataukeadaan
tangannya yang belum stabil.
Apabila dia merosakkan
mainannya, itu lebih kepada sifat ingin tahunya. Apabila dia
bermain-main dengan pasu kristal kesayangan anda dan akhirnya pecah,
itu bukanlah kerana sengaja ingin membuatkan anda marah. Bagi
kanak-kanak kecil, bermain adalah proses belajar. Dia akan belajar
memahami bahawa barang kaca akan pecah apabila dihempas atau dibaling
ke lantai.
Rasulullah
s.a.w bersabda; “Kegemaran, permainan dan kelincahan gerak seorang
anak pada waktu kecil, akan mempertajamkan pemikirannya ketika dewasa.”
(Hadis riwayat Tirmizi).
Imam
Al-Ghazali menjelaskan dalam Ihya ´Ulumuddin, bahagian V, bab Mengubati
Penyakit Hati, “Hendaknya anak-anak kecil diberi kesempatan bermain.
Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan
mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya, dan membuatnya jemu
terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk
membebaskan diri dari keadaan sesak itu.”
Menurut Ma´ruf
Zurayk, pensyarah Pendidikan dan Psikologi Universiti Darul Mukminin
Damascus, menjelaskan, “Pendidikan anak yang dilakukan dengan bentuk
yang keras dan kaku mengakibatkan perasaan tertekan, hancurnya
keperibadian, dan tidak adanya kesempatan untuk mengungkapkan
keperibadian anak. Inilah hal-hal yang menyebabkan anak menggunakan
aspek kebohongan sebagai sarana, yang dengan jalan itu, dia memperoleh
tempat yang dianggap baik dan dikagumi bagi kedua ibu bapanya.”
Menurut
Zurayk lagi, “Kadang-kadang anak juga berbohong kerana takut hukuman
yang dijatuhkan kepadanya atau hanya kerana sekadar kesenangan yang
timbul dari sikap menentang terhadap kekuasaan yang keras orang
tuanya.”
Matthew McKay telah menghabiskan waktu dua tahun untuk
mengkaji perilaku marah orang tua dan kesannya terhadap kanak-kanak. Dia
menemukan bahawa 2/3 ibu bapa (daripada 285 orang tua yang dikaji)
mengungkapkan rasa marah kepada anak dengan berteriak dan membentak –
sekitar lima kali seminggu. Ini bermakna, hampir setiap hari anak-anak
menerima bentakan daripada ibu bapanya. Menurut McKay, “Apabila anda
membentak anak hampir setiap hari, hati anak akan terluka. Apabila hanya
sekali seminggu atau sekali sebulan, anak tidak akan merasakan adanya
serangan psikologi terhadap dirinya.”
Daripada anda menghabiskan tenaga untuk marah dan akan meninggalkan
kesan negatif pada psikologi anak, lebih baik anda melakukan perbuatan
preventif,
misalnya,
jangan meletakkan barang mudah pecah di tempat yang terjangkau oleh
anak. Atau, selagi anak masih kecil, anda tidak perlu memasang
permaidani atau permadani mahal di lantai yang memerlukan tenaga
tambahan untuk membersihkannya.
Sebaiknya pula, ibu
bapa menghindari kata-kata yang bersifat larangan. Pertama, anak sukar
menentukan alternatif atau pilihan tindakan. Misalnya, ketika ia
menjerit-jerit, kita akan membentak, “Syyyy, diam, jangan
menjerittttt!!!!!!”
Lantas, dia akan melakukan aktiviti lain,
seperti memukul meja. Apabila kembali kita melarangnya, anak akan
bingung, “Apa yang harus aku lakukan? Ini jangan, itu jangan. Yang mana
yang boleh?”
Kedua, larangan (lebih-lebih lagi yang
disertai bentakan dan marah) akan membuatkan anak kehilangan
kreativitinya. Adalah naïf apabila orang tua melarang anak merosakkan
mainannya yang hanya berharga sepuluh ringgit tetapi menebusnya dengan
kematian kreativiti yang merupakan bekalan utama anak untuk kehidupan
pada masa hadapan.
Tulisan ini akan penulis akhiri dengan
hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Setiap di antara kamu adalah
pemimpin dan akan diminta pertanggungjawapan atas apa yang dipimpin.”
Ayah dan ibu adalah pemimpin anak-anak dan kemudian hari Allah s.w.t
akan meminta pertanggungjawapan atas apa yang telah mereka lakukan
terhadap anak-anak mereka. Lantaran itu, bersikaplah secara jujur dan
lembut terhadap anak-anak anda. Wallahua´lam.
sumber :penasufi